MAC 2023

Pelaburan Strategik Sarawak


MALINAU (Kalimantan Utara): Penyertaan Sarawak dalam pembangunan projek hidro elektrik Mentarang di Kalimantan Utara melalui Sarawak Energy Bhd (SEB) adalah pendekatan penting untuk membangunkan sektor tenaga diperbaharui Sarawak, kata Premier Sarawak.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelaburan SEB dalam projek itu merupakan satu pelaburan modal strategik untuk mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai wilayah pembekal tenaga, katanya kepada media di sini.

Presiden Indonesia, Joko Widodo yang berucap menyempurnakan upacara pecah tanah projek empangan hidro itu menyifatkannya sebagai suatu projek strategik nasional dan terbesar di Indonesia.

Abang Johari bersama rombongan dari Sarawak tiba di Malinau melalu Tarakan semalam atas jemputan konsortium pelabur untuk menyaksikan upacara pecah tanah membina empangan berharga USD2.6 bilion (RM11.8 bilion) itu. Empangan itu boleh menjana 1,375 megawatt (MW) tenaga elektrik.

SEB memiliki ekuiti 25 peratus (%) dalam syarikat terbabit yang dianggotai oleh PT Kayan Patria Pratama dengan ekuiti 25% dan PT Adaro Energy Indonesia Tbk 50%.

Joko Widodo berkata, projek itu mencerminkan kerjasama erat antara Indonesia dan Malaysia sebagai jiran dan rakyatnya hidup serumpun.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada masyarakat setempat yang terdiri daripada etnik Punan dan Lun Dayeh kerana memberi sokongan penuh kepada projek terbabit yang akan meningkatkan taraf sosioekonomi setempat.

Empangan hidro itu akan membekal tenaga kepada industri di Kalimantan Utara dan dijangka beroperasi pada 2030.

Sumber dari : Jiwa Bakti